-
- Kesemua mangsa penipuan menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung ejen pelancongan berkenaan.
SUNGAI PETANI – Seorang gadis berusia 23 tahun dari bandar ini dikesan
licik menjalankan kes penipuan berhubung pakej pelancongan kepada orang
ramai sebelum membatalkan perjalanan di saat akhir setelah bayaran
dibuat.
Gadis tersebut juga didakwa giat menjalankan pelbagai perniagaan dengan
menawarkan khidmat menjadi ejen produk tetapi liat ketika diminta
menjelaskan bayaran dengan pelbagai alasan.
Pengadu, Nor Suriani Badri, 34, berkata, dia termasuk 13 individu lain
telah membuat tempahan bercuti ke Bali selama empat hari tiga malam
melalui ejen berkenaan pada tarikh 11 Ogos lalu, namun perjalanan
dibatalkan hanya beberapa jam sebelum bertolak.
“Empat orang sudah pun berada di Terminal Penerbangan Tambang Murah
(LCCT) apabila dimaklumkan jam 3 pagi bahawa perjalanan kami dibatalkan
atas alasan tidak munasabah,” katanya kepada Sinar Harian.
Nor Suriani berkata, walaupun ejen terbabit sudah menjelaskan RM6,500
setelah dipaksa, tetapi mereka tetap mahu bersemuka dengan gadis
berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.
[KES 2] Mangsa, Nasrul Md Junid, 42, berkata, sebaik sahaja mengetahui
perjalanan ke Bali dibatalkan saat akhir, dia bersama 22 ahli keluarga
yang membuat tempahan ke Semporna, Sabah September nanti khuatir apabila
mengetahui menggunakan khidmat ejen yang sama.
Nasrul berkata, sebaik sahaja mengetahui lawatan ke Bali dibatalkan,
dia telah membuat pengesahan dengan syarikat penerbangan dan tempat
penginapan yang didakwa sudah ditempah, namun tiada nama ahli
keluarganya.
“Pada Mei lalu, kami telah membayar lebih RM8,000 untuk penerbangan dan
hotel selain membuat tempahan sendiri untuk aktiviti sukan di sana
lebih kurang RM3,000.
“Pada 16 Ogos lalu, gadis berkenaan telah menghantar khidmat pesanan
ringkas (SMS) kepada salah seorang ahli keluarga mengatakan tiket
penerbangan telah ditempah.
“Khuatir ditipu, kami membuat pengesahan dengan syarikat penerbangan
tetapi dimaklumkan bahawa ejen hanya membayar RM440 manakala tempahan
hotel juga tidak dilakukan,” katanya.
Nasrul berkata, maklumat terbaru diperoleh, tempahan untuk ahli
keluarganya dibatalkan syarikat penerbangan kerana tiada bayaran
sepenuhnya dibuat dalam tempoh tertentu sedangkan dia sudah membuat
pembayaran sepatutnya.
Bagi mendapatkan penjelasan, ahli keluarga menghubungi ejen terbabit
tetapi semua talian tidak berfungsi. Menurutnya, dia mahukan ejen
pelancongan terbabit membuat tempahan semula penerbangan atau
memulangkan kembali harga tiket mengikut kadar semasa memandangkan semua
persiapan telah dibuat termasuk memohon cuti kesemua ahli keluarga
termasuk yang tinggal di luar daerah.
[KES 3] Mangsa, Rasinah Saad, 37, mendakwa, kegiatan gadis berkenaan
dijalankan secara licik di mana modus operandi sama dilakukan melibatkan
penipuan wang. “Dua tahun lalu, gadis sama telah menjadi ejen produk
penapis air melibatkan kos lebih RM4,000 namun hanya membayar separuh
daripadanya,” katanya.
[KES 4] Leana Ramli, 29, turut menggunakan khidmat ejen pelancongan
sama ketika bercuti ke Hatyai 10 Ogos lalu bersama 30 ahli keluarganya.
Menurutnya, khidmat yang diberikan tidak memuaskan selain terpaksa
membuat bayaran tambahan kepada pemandu van dan bas setelah tiba di
sana.
“Kebanyakan destinasi dituju tidak sama seperti dirancang termasuk pengangkutan terpaksa dibayar dengan wang sendiri,” katanya.
Menurut Leana, kebanyakan urusan dilakukan menerusi laman sosial
Facebook dan tidak menyangka lebih ramai mangsa ditipu selepas
pendedahan dibuat menerusinya.
Gadis tersebut turut dikesan melakukan penipuan kepada pelanggan yang
berada di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu dan Selangor apabila
masing-masing menunjukkan laporan polis dibuat menerusi laman sosial
berkenaan.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan ada menerima laporan
berhubung kejadian dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.