Langit semakin terbuka
 
Bermula dengan operasi MAS pada 1972, Malaysia kini mempunyai empat syarikat penerbangan, memberi lebih pilihan kepada pengguna.

APABILA syarikat penerbangan baru Malindo Air mula beroperasi dari Subang, awal bulan ini, ia bukan hanya kejayaan kepada Malindo, tetapi jika dilihat dari skop yang lebih luas, ianya adalah kemenangan kepada semua rakyat Malaysia.

Bermula dengan satu syarikat penerbangan Malaysian Airline System (kini dikenali sebagai Malaysia Airlines atau MAS) yang ditubuhkan pada 1972, Malaysia kini mempunyai empat pemain utama dalam industri ini.
Tiga daripadanya diwujudkan dalam tempoh 12 tahun lalu, iaitu AirAsia Bhd pada 2001, diikuti Firefly, anak syarikat milikan penuh MAS yang memfokuskan perkhidmatan pesawat kipas pada 2007 dan terbaru, Malindo yang memulakan perkhidmatan pada 22 Mac 2013.

Pertumbuhan pesat industri penerbangan domestik Malaysia ini memberi kelegaan kepada pengguna tempatan kerana ia bukan sahaja menamatkan monopoli perniagaan tetapi juga mewujudkan lebih banyak pilihan harga dan menaikkan kualiti perkhidmatan pengendali penerbangan komersial di negara ini.

 
Harga turun, kualiti naik

Menurut penganalisis industri penerbangan Hong Leong Investment Bank, Daniel Wong, peningkatan jumlah syarikat penerbangan dan jumlah pesawat menyebabkan lebihan tempat duduk yang ditawarkan, sekali gus mencetuskan perang harga dan kualiti perkhidmatan.

“Pertumbuhan permintaan pengguna dalam pasaran penerbangan adalah lebih kurang lapan hingga 10 peratus tahun ini.
“Melalui kemasukan Malindo dan pertambahan jumlah pesawat bagi semua syarikat penerbangan, kapasiti mengangkut penumpang yang ditawarkan mereka dijangka mencatatkan pertumbuhan melebihi 10 peratus menjelang
akhir tahun.

“Ini bermakna berlaku lebihan kapasiti berbanding permintaan penumpang. Jadi apa yang syarikat penerbangan perlu lakukan adalah menarik lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan mereka dengan menawarkan harga lebih rendah,” katanya semasa dihubungi Sinar Harian.

Persaingan ini mungkin akan mewujudkan lebih banyak perkhidmatan seperti Malindo yang menawarkan penerbangan pada harga rendah tetapi memberi perkhidmatan premium sebagai strategi pemasaran mereka.

 
Bolehkah syarikat penerbangan bertahan?

Gambaran mengenai perkembangan pesat industri penerbangan dunia dapat dilihat melalui laporan Prospek Pasaran Semasa oleh syarikat pengeluar kapal terbang Boeing baru-baru ini yang menjangkakan sebanyak 35,000 pesawat baru akan diperlukan syarikat penerbangan seluruh dunia dalam masa 20 tahun akan datang.

Menurut Wong, jika syarikat penerbangan Malaysia gagal mengekalkan kos rendah di samping tawaran harga murah kepada pengguna, mereka mungkin terpaksa menutup operasi berikutan persaingan semakin meningkat.

Seorang lagi penganalisis dari RHB Research Institute turut berpendapat pasaran penerbangan komersial negara kini mengalami persaingan sengit dengan pertumbuhan kapasiti dan peningkatan permintaan pada kadar sembilan hingga 11 peratus tahun ini.
“Persaingan sengit ini membawa kepada persoalan sama ada syarikat penerbangan mampu kekalkan kos operasi yang rendah bagi tempoh lama. Apa pun, persaingan seperti ini pastinya baik untuk pengguna,” katanya.
 

Pilihan akhir di tangan rakyat
Sementara itu, kajian Kenanga Research menunjukkan harga tambang bagi penerbangan antarabangsa MAS secara purata menurun sebanyak enam peratus manakala tambang bagi penerbangan domestik syarikat itu menurun 12 peratus pada suku pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Penurunan itu disebabkan persaingan harga yang sengit akibat peningkatan kapasiti dalam pasaran tersebut.
Bagaimanapun, tidak semua syarikat penerbangan menghadapi tekanan untuk menurunkan tambang.
AirAsia Bhd dalam pengumuman keputusan kewangannya bagi suku pertama tahun ini menyebut syarikat itu mencatatkan perolehan 11 peratus lebih tinggi berbanding suku pertama 2012 yang antaranya disumbangkan kenaikan dua peratus dalam purata tambang syarikat itu.

“Ini menunjukkan kejayaan rangkaian laluan kami, kualiti perkhidmatan dan jenama yang kuat, menghasilkan permintaan berterusan daripada penumpang setiap tahun,” menurut AirAsia dalam pengumuman itu.
Perkembangan positif industri ini memberi manfaat besar kepada pengguna yang mempunyai lebih pilihan untuk menggunakan mana-mana perkhidmatan syarikat penerbangan yang mewarnai langit Malaysia pada hari ini, mengikut kelebihan masing-masing.

-Sinar Harian-