Malindo Air
 
SYARIKAT  penerbangan hibrid, Malindo Air menawarkan 10,000 tempat duduk percuma ke semua destinasi di Semenanjung sempena sambutan Hari Merdeka.

Menurut kenyataan dikeluarkan, tiket pergi balik percuma itu sah bagi penerbangan dari Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Kota Baharu, Johor Baharu, Langkawi, Alor Setar dan Kuala Terengganu.

Tiket-tiket itu boleh ditempah mulai 28 Julai hingga 4 Ogos bagi tempoh perjalanan antara 20 Ogos dan 31 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy berkata, 10,000 pelanggan bertuah itu hanya perlu membayar cukai dan fi lapangan terbang dengan kebenaran bagasi percuma 40 kg bagi kelas perniagaan dan 20 kg bagi kelas ekonomi ditambah dengan hiburan dan makanan ringan percuma dalam penerbangan.

“Sejak pelancaran rasmi pada 22 Mac, kami menerima sambutan amat menggalakkan dengan lebih 200,000 tetamu bagi penerbangan kami dan ini adalah tanda terima kasih kami kepada sokongan padu anda," katanya.

Menurutnya, promosi Super Merdeka Deals itu juga adalah sebahagian daripada sambutan syarikat penerbangan itu untuk meraikan dua lagi serahan pesawat ATR72-600 pada Ogos dan sebuah lagi pada Oktober.