- Kesemua mangsa penipuan menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung ejen pelancongan berkenaan.
Gadis tersebut juga didakwa giat menjalankan pelbagai perniagaan dengan menawarkan khidmat menjadi ejen produk tetapi liat ketika diminta menjelaskan bayaran dengan pelbagai alasan.
Pengadu, Nor Suriani Badri, 34, berkata, dia termasuk 13 individu lain telah membuat tempahan bercuti ke Bali selama empat hari tiga malam melalui ejen berkenaan pada tarikh 11 Ogos lalu, namun perjalanan dibatalkan hanya beberapa jam sebelum bertolak.
“Empat orang sudah pun berada di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) apabila dimaklumkan jam 3 pagi bahawa perjalanan kami dibatalkan atas alasan tidak munasabah,” katanya kepada Sinar Harian.
Nor Suriani berkata, walaupun ejen terbabit sudah menjelaskan RM6,500 setelah dipaksa, tetapi mereka tetap mahu bersemuka dengan gadis berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.
[KES 2] Mangsa, Nasrul Md Junid, 42, berkata, sebaik sahaja mengetahui perjalanan ke Bali dibatalkan saat akhir, dia bersama 22 ahli keluarga yang membuat tempahan ke Semporna, Sabah September nanti khuatir apabila mengetahui menggunakan khidmat ejen yang sama.
Nasrul berkata, sebaik sahaja mengetahui lawatan ke Bali dibatalkan, dia telah membuat pengesahan dengan syarikat penerbangan dan tempat penginapan yang didakwa sudah ditempah, namun tiada nama ahli keluarganya.
“Pada Mei lalu, kami telah membayar lebih RM8,000 untuk penerbangan dan hotel selain membuat tempahan sendiri untuk aktiviti sukan di sana lebih kurang RM3,000.
“Pada 16 Ogos lalu, gadis berkenaan telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada salah seorang ahli keluarga mengatakan tiket penerbangan telah ditempah.
“Khuatir ditipu, kami membuat pengesahan dengan syarikat penerbangan tetapi dimaklumkan bahawa ejen hanya membayar RM440 manakala tempahan hotel juga tidak dilakukan,” katanya.
Nasrul berkata, maklumat terbaru diperoleh, tempahan untuk ahli keluarganya dibatalkan syarikat penerbangan kerana tiada bayaran sepenuhnya dibuat dalam tempoh tertentu sedangkan dia sudah membuat pembayaran sepatutnya.
Bagi mendapatkan penjelasan, ahli keluarga menghubungi ejen terbabit tetapi semua talian tidak berfungsi. Menurutnya, dia mahukan ejen pelancongan terbabit membuat tempahan semula penerbangan atau memulangkan kembali harga tiket mengikut kadar semasa memandangkan semua persiapan telah dibuat termasuk memohon cuti kesemua ahli keluarga
termasuk yang tinggal di luar daerah.
[KES 3] Mangsa, Rasinah Saad, 37, mendakwa, kegiatan gadis berkenaan dijalankan secara licik di mana modus operandi sama dilakukan melibatkan penipuan wang. “Dua tahun lalu, gadis sama telah menjadi ejen produk penapis air melibatkan kos lebih RM4,000 namun hanya membayar separuh daripadanya,” katanya.
[KES 4] Leana Ramli, 29, turut menggunakan khidmat ejen pelancongan sama ketika bercuti ke Hatyai 10 Ogos lalu bersama 30 ahli keluarganya. Menurutnya, khidmat yang diberikan tidak memuaskan selain terpaksa membuat bayaran tambahan kepada pemandu van dan bas setelah tiba di sana.
“Kebanyakan destinasi dituju tidak sama seperti dirancang termasuk pengangkutan terpaksa dibayar dengan wang sendiri,” katanya.
Menurut Leana, kebanyakan urusan dilakukan menerusi laman sosial Facebook dan tidak menyangka lebih ramai mangsa ditipu selepas pendedahan dibuat menerusinya.
Gadis tersebut turut dikesan melakukan penipuan kepada pelanggan yang berada di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu dan Selangor apabila masing-masing menunjukkan laporan polis dibuat menerusi laman sosial berkenaan.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment